Pelajar Tahfiz lemas di kolam ikan

Pelajar tahfiz lemas di kolam ikan

PELAJAR tahfiz lemas dalam kolam ikan di Sekolah Tahfiz Asmaa Al-Ikhlas, Pulau Raja, Tumpat, 1.20 tengah hari tadi.

Mayat Mohamad Bazli Seriumi, 16, ditemui ustaz dan pengawal keselamatan sekolah tahfiz berkenaan.

Sebelum itu, dia dikatakan terjun ke dalam kolam untuk bersama lima rakannya yang berada di dalam bot di tengah kolam.

Rakannya, Muhammad Anas Mohamed, 13, berkata, dia dan empat lagi rakannya sudah berada di tengah kolam iaitu kira-kira 50 meter dari tebing ketika Mohamad Bazli tiba dan memberitahu mahu menaiki bot sama.

“Kami naiki bot itu sekadar mahu menimba keluar air sebelum kembali semula ke tebing. Ketika itupun ada ustaz yang temani kami (berada di dalam kolam).

“Arwah sertai kami agak lewat dan apabila dia tiba di tebing, kami sudah di tengah kolam dan memintanya tunggu sebentar. Bagaimanapun, dia enggan dan terus terjun kolam.

“Saya ingatkan dia bergurau apabila tangannya terkapai-kapai, memandangkan dia pandai berenang. Malangnya dia betul-betul lemas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensi Hospital Tumpat, hari ini.

Menurutnya, Ustaz Abdul Rahman Zaidi, 21, yang ada bersama segera berenang ke arah Mohamad Bazli apabila melihat remaja itu tenggelam.

Katanya, mereka segera mendayung bot ke tebing apabila ustaz itu dan seorang pengawal keselamatan mencari arwah di dasar kolam.

“Saya bersyukur arwah ditemui lima minit kemudian. Namun, sedihnya apabila dia sudah tidak bernyawa,” katanya.

Rakan baik arwah, Ahmad Fathie Muhamad, 14, berkata, Mohamad Bazli mendaftar masuk ke tahfiz itu pada September lalu.

Katanya, dia mengajak arwah ke rumahnya di Kampung Geting, pada Jumaat ini untuk berehat dan meluangkan masa bersama, namun hajat itu tidak kesampaian.

“Saya terkilan dia tak sempat ke rumah dan pemergiannya cukup dirasai,” katanya yang memberitahu arwah sudah menghafaz empat juzuk al-Quran.

Sementara itu, Mudir Zaidi Che Hassan berkata, ketika kejadian berlaku, dia tiada di sekolah berkenaan dan pelajarnya ditemani guru.

Katanya, waktu kejadian juga adalah masa tidur bagi pelajar berkenaan, namun enam orang termasuk arwah turun membantu Abdul Rahman menarik bot ke tebing dan menimba air keluar daripada bot itu.

“Kolam terletak kira-kira 200 meter dari asrama pelajar dan sekiranya cuaca elok, tempat itu menjadi lokasi riadah pelajar untuk memancing ikan.

“Sudah ditakdirkan kejadian ini, kami reda. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Bunut Payong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong, Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 8:15 PM Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *