‘Mereka curi harta paling saya sayang… Lelaki ini sanggup bertaruh nyawa…

 

‘Mereka curi harta paling saya sayang…


LELAKI berusia 20 tahun nekad mempertahankan motosikalnya daripada dilarikan penjenayah walaupun dilibas parang dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Sulaiman Muar, Johor awal pagi kelmarin.

Mangsa, Ahmad Ainul Muqaffa berkata, dalam kejadian 3.45 pagi itu, dia yang bertugas sebagai juruwang bersama seorang pengawal keselamatan didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal sebelum tiba-tiba diacukan parang.

“Ketika berada di kaunter, saya melihat dua lelaki tidak semena-mena melulu ke arah pengawal keselamatan yang duduk di luar dan bertindak mengacu parang.

“Bagaimanapun, pak cik berusia 50-an itu tidak melawan dan dia tidak diapa-apakan. Mereka memberi amaran supaya tidak bertindak yang bukan-bukan.

“Saya sempat menekan butang kecemasan apabila seorang penjenayah melulu masuk ke pintu kedai dan menerpa ke arah saya yang bertugas di kaunter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Dia berkata, tidak berfikir panjang, dia cuba melawan penjenayah dengan membaling apa saja objek yang dapat dicapai namun dilibas dan ditetak dengan parang.

“Salah penjenayah menghidupkan Yamaha 125 ZR milik saya menggunakan ‘master key’ dan saya cuba menghalang tetapi diserang dengan parang berkali-kali.

“Saya ditetak hingga menyebabkan terpaksa menerima lima jahitan di bahu dan tiga jahitan di tangan kiri,” katanya.

Ahmad Ainul berkata, hampir dua tahun bekerja di stesen minyak terbabit, itu kejadian pertama menimpanya dan dia mengakui trauma dan masih terkejut.

“Paling saya kesal ialah motosikal saya dilarikan sedangkan itulah harta yang paling saya sayang dan hanya berbaki dua tiga bulan saja lagi akan habis dibayar,” katanya.

 

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 30 saat memaparkan sebuah stesen minyak disamun menjadi tular di laman sosial.

Video yang dikongsi oleh pengguna Facebook (FB) itu memaparkan dua pekerja yang bertugas diserang dan salah seorang daripada mereka bertindak melawan kumpulan penjenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan kumpulan suspek sama melakukan samun di sebuah hotel di Jalan Pintasan, Muar selepas insiden itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

 

Dalam pada itu, usaha mendapatkan komen pengurusan hotel gagal kerana mereka menyerahkan sepenuhnya kes untuk siasatan polis.

Difahamkan pekerja hotel berkenaan turut dilarang memberi kenyataan kepada pihak media manakala rakaman CCTV mengenai kejadian tular di laman Facebook.

Sumber  : hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *