Ibu tunggal lacur anak 8 dan 10 tahun kepada 3 warga Bangladesh ditahan polis

SEORANG ibu tunggal berusia 39 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Senai, Johor, pada 25 Oktober lalu kerana disyaki melacurkan dua anak kandungnya berusia lapan dan 10 tahun kepada warga Bangladesh.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ibu tunggal itu dipercayai melacurkan anaknya kepada tiga warga Bangladesh yang juga kenalannya sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, perbuatan keji wanita itu dikesan hasil maklumat orang ramai.

“Ibu mangsa dikatakan membawa mangsa ke hotel bajet di Larkin, Johor Bahru, sebelum meninggalkannya bersama lelaki warga asing berusia 30-an.

“Ketika itu, dia dipercayai tinggal di bilik berasingan dan dikatakan menerima sejumlah bayaran hasil melacurkan kedua-dua anaknya itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pencegahan Jenayah Kecurian Kabel TM di Hotel Grand Paragon, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wanita itu seorang penagih dadah atau tidak.

“Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan wanita berkenaan masih ditahan reman.

Katanya, pihaknya masih berusaha mengesan kumpulan warga asing berkenaan bagi membantu siasatan.

TERBARU

Polis telah mengenal pasti tiga suspek utama warga Bangladesh termasuk teman lelaki kepada wanita tempatan yang melacurkan dua anak perempuannya berusia lapan dan 10 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu dipercayai masih berada dalam negara ini tetapi sudah keluar dari negeri ini.

“Meskipun belum berjaya menahan ketiga-tiga suspek utama itu, namun kita telah mengenal pasti identiti suspek menerusi pasport mereka.

“Kita telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menahan suspek dan kita percaya akan menahan ketiga-tiga suspek utama itu dalam masa terdekat,” katanya pada prapelancaran Hari Keluarga Ceria Bersama PDRMcare di ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini sebentar tadi.

Pada 25 Oktober lalu, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun kerana disyaki melacurkan dua anak perempuannya itu kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di bandar raya ini.

Setakat ini, polis menahan tujuh lelaki warga Bangladesh berusia 28 hingga 42 tahun dan seorang lelaki tempatan yang juga majikan warga asing berkenaan berusia 48 tahun bagi membantu siasatan

Sumber : metro dan UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *